Final TM Piala Malaysia 2017: Julangan Sulung Piala Malaysia

04 November 2017
K2_ITEM_AUTHOR 
FOTO: Mohamad Asyraaf / www.gawang.my

Stadium Shah Alam menjadi saksi menyaksikan kelab bolasepak JDT mecipta sejarahnya yang tersendiri apabila muncul juara TM Piala Malaysia 2017 buat pertama kalinya sejak ditubuhkan. Kejayaan itu dilakar setelah  menewaskan juara bertahan, Kedah dengan keputusan 2-0.

JDT bermula garang dengan hanya memerlukan 2 minit untuk membuka tirai jaringan menerusi tandukan ‘free header’ Aidil Zafuan Abdul Razak hasil sepakan sudut Safiq Rahim. Keghairahan mencari tambahan gol nyata dapat dilihat apabila mereka berterusan mengasak kubu Lang Merah dan hampir mendapatnya namun sepakan Gabriel Guerra sempat dihadang Zachary Anderson.

Harimau Selatan datang menguji lagi tetapi Natxo Insa gagal memanfaatkan gawang gol yang terbuka luas apabila sepakannya sedikit tersasar kesebelah kanan.  Selepas itu,  Ifwat Akmal terpaksa melayangkan badannya untuk menepis keluar percubaan wajib gol Guerra yang tidak dikawal sesiapa.

Menjelang minit ke-25, barulah Kedah melancarkan serangan pertamanya menerusi  Ken Ilso yang melakukan lambungan mengatasi  Izham Tarmizi tetapi S Kunalan sempat menguis keluar percubaan tersebut.  Kedah sekali lagi berpeluang mencari gol penyamaan tetapi sepakan percuma Sandro Mendonca gagal melepasi benteng.

Memasuki separuh masa kedua, Kedah pula lebih garang mencipta gerakan tetapi  tandukan Baddrol Bakhtiar pada minit ke-55 sekadar singgah di palang gol . Dikala skuad hijau kuning bernafsu mengasak, menerusi satu gerakan balas JDT pula yang menambah gol apabila Gonzalo Gabrera sempat  merembat  secara ‘half-volley’ hasil lintangan Hazwan Bakri biarpun diasak hebat Rizal Ghazali.

4 November nyata bukanlah malam bertuah untuk juara bertahan itu apabila tiang pula menjadi penghalang rembatan wajib gol Baddrol yang mendatang hantaran daripada Sandro beberapa minit kemudian. Keputusan 2-0 kekal sehingga wisel penamat sekaligus JDT muncul juara buat pertama kalinya.

Teks: Mohamad Asyraaf / www.gawang.my

91 K2_VIEWS
Gawangdotmy
We use cookies to improve our website. Cookies used for the essential operation of this site have already been set. For more information visit our Cookie policy. I accept cookies from this site. Agree